Friday, February 12, 2010

Kekeluargaan dalam pemikiran Al-Banna

Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna dalam gagasan pemikirannya menyeru manusia ke jalan Allah dengan asas yang amat mudah. Beliau ingin membawa manusia yang telah jauh daripada hidayah Islam kembali ke pangkal jalan. Kembali memahami Islam yang syumul yang menjangkau seluruh aspek kehidupan. Bermula dari aqidah yang sejahtera dan ibadah yang sahih sehinggalah kepada akhlaq, keluarga, masyarakat, negara, undang-undang, kekayaan, keadilan, kehakiman, jihad dan dakwah. Membawa manusia kembali kepada Al-Quran sebagai asas sumber rujukan, di samping hadis Rasulullah saw melalui riwayat dan perawi yang dipercayai.

Penekanan-penekanan yang dibuat oleh Asy-Syahid menjadi lebih mantap dan sempurna apabila beliau sentiasa meletakkan iman yang benar, ibadah yang sahih dan pengorbanan di hadapan, kerana di dalam ketiga-tiga elemen tersebut terkandungnya cahaya dan kemanisan. Asy-Syahid seorang yang amat tegas dalam perkara agama dan memastikan ia sentiasa berlandaskan dalil syarak yang jelas dan nas-nas agama, menolak segala sesuatu yang bercanggah dengannya.

Neraca dan setiap nilai di atas diimplimentasikan secara amali dalam alam nyata melalui keperibadian seorang muslim, keluarga muslim, masyarakat muslim, negara Islam dan alam seluruhnya.

Asy-Syahid dikatakan tidak banyak mengarang buku kerana terlalu sibuk dalam memproses dan melahirkan “rijal”. Demikianlah kritikalnya tahap pembentukan peribadi muslim itu di sisi Hasan Al-Banna. Melalui peribadi-peribadi muslim, impian untuk mencapai sebuah keluarga muslim akan tergalas. Setiap tingkat atau tertib amal ini semestinya memerlukan disiplin dan pengorbanan yang tinggi. Amal-amal inilah yang akan dinilai dan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan katakanlah (wahai Muhamad): Beramallah kamu, maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia mengkhabarkan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (At-Taubah: 105)

Keluarga muslim

Keluarga muslim adalah antara elemen perubahan yang ingin dipersembahkan kepada masyarakat. Menyedarkan kembali masyarakat kepada definisi keluarga yang sebenarnya menurut Islam yang selama ini mungkin sudah agak tersasar hasil pengaruh-pengaruh luar dan pelbagai faktor yang lain.

Islam yang syumul amat menitikberatkan soal kelangsungan hidup kekeluargaan. Merubah pemikiran sempit masyarakat terhadap peranan sebuah keluarga kepada yang sepatutnya. Seorang muslim yang sebenarnya bukan semata-mata mengamalkan Islam untuk dirinya sendiri tetapi juga: “mendidik ahli keluarganya supaya menghormati fikrahnya. Memelihara adab Islam dalam setiap sudut hidup berumahtangga. Hal ini termasuk ketelitian dalam memilih isteri. Mendidik isteri tentang hak dan tanggungjawabnya. Mendidik anak-anak dan pengasuh dengan baik, dan membesarkan anak-anak berdasarkan prinsip Islam. Inilah satu tugasan dan kewajipan yang perlu dipikul seorang muslim.” (Al-Banna)

Sunnah perkahwinan

Kehidupan mahkluk Allah yang berpasang-pasangan di alam semesta ini perlu kita insafi sebagai salah satu tanda keagungan Allah SWT. Perhatikanlah kepada alam haiwan, tumbuhan dan manusia, semuanya berpasang-pasangan untuk terus melangsungkan kewujudan mereka di alam ini.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan setiap sesuatu kami jadikan berpasangan mudah-mudahan kamu mengingati.”

Sistem perkahwinan bukanlah semata-mata menyahut keperluan naluri bahkan ia adalah sunnah kauniah yang lebih halus dan luas. Sebagaimana cas positif dan negatif dalam alam elektrik hanya akan dapat kita rasai rahsia kewujudannya apabila kedua-duanya ditemukan.

Sesungguhnya keluarga adalah salah satu nikmat besar daripada nikmat-nikmat Allah di dunia ini. Kejayaan seorang muslim dilihat kepada kejayaan keluarga muslim yang di bawah tanggungjawabnya dan kecemerlangan sebuah keluarga diukur melalui individu-individu yang berada di bawah naungannya.

Saidina Muaz bin Jabal pernah pergi menemui Rasulullah saw dan meminta baginda memberi wasiat kepada beliau, maka sabda baginda saw;

يا معاذ أمسك عليك سانك , وليسعك بيتك وابك على خطيئتك

Maksudnya: “Wahai Muaz hendaklah kamu menjaga lidahmu, dan liyas’aka rumahmu serta tangisilah kesalahan-kesalahanmu”.

Rumahtangga muslim sepatutnya adalah satu tempat yang bagus, yang terdapat di dalamnya suami isteri, anak-anak dan ibu bapa. Di dalamnya ada ketenangan dan kerehatan setelah penat lelah. Segala keletihan hidup akan hilang apabila seseorang itu masuk ke dalam sebuah rumah yang tersusun dan bahagia. Segala kelukaan akibat tragedi dan peristiwa-peristiwa akan berlalu dengan belaian tangan-tangan yang penyayang di dalam bait muslim. Inilah yang dikatakan hidup yang menyenangkan, punca kepada kesucian, tempat bermulanya satu kesetiaan, kelembutan dan kasih sayang. Lantaran itu Islam telah mewujudkan sistem kekeluargaan dengan memperkemaskan hubungan antara ahlinya.

No comments: